Assalamualaikum,
Sesetengah orang tahu yang kisah Adi Danial pernah dipaparkan dalam Berita Harian, & ramai jugak yang tak tahu. Selalu orang tanya, paper bila? tulis apa? nak tengok kat mana? Selain tu ada jugak la yang google 'Adi Danial Berita Harian' , tapi umi sure, memang susah nak jumpa. So, bukan nak show off ke hape, umi just nak share. Sapa yang menggoogle tapi tak jumpa tu, boleh baca kat sini.. TQ mama Suha & mummy Nas for the great article.. TQ so much..
*********************************************************************************
“Saya berjanji tidak akan menangis di hadapan Adi lagi,”.
Itu kata-kata yang diluahkan Holwatunmasrura Halimi, ibu kepada bayi berusia lapan bulan, Adi Danial yang menghidap penyakit Hypopituitarism.
Beliau yang lebih mesra dipanggil Rura berkata walaupun Adi tidak seperti bayi normal yang lain, ia tidak menghalang anak kecil itu untuk turut sama merasai kesedihan ibunya.
“Dua bulan sejak Adi lahir, saya banyak menangis di hadapannya kerana sedih memikirkan kesakitan yang perlu ditanggung olehnya.
“Setiap kali saya berbuat demikian, saya dapati graf jantung Adi akan menurun seakan-akan dia turut sama bersedih. Jika saya tidak menangis dan berbual dengannya, graf jantungnya menjadi normal,” katanya.
Adi dilahirkan secara pembedahan pada minggu ke-34 kerana bimbang dia tidak mendapat oksigen yang mencukupi. Sejurus dilahirkan, beberapa siri ujian darah dan imbasan otak dilakukan kerana beratnya yang hanya sekitar 1.3 kilogram.
Berat itu adalah bersamaan dengan janin berusia antara 28 minggu hingga 29 minggu. Doktor juga mengesyaki terdapat keganjilan pada Adi kerana ukur lilit kepalanya yang kecil dan tidak membesar.
Penyakit Jarang Berlaku
------------------------------------------
Adi disahkan menghidap Hypopituitarism dan ia adalah situasi yang jarang berlaku yang mana kelenjar hipofisis gagal menghasilkan hormon yang cukup.
Ia menyebabkan otak gagal berfungsi dan disebabkan keadaan itu, ia akan membawa kepada beberapa masalah lain seperti sawan, masalah saraf dan perkembangan hormon yang tidak normal.
Bayi seberat 5.7 kilogram itu juga mempunyai masalah injap jantung sempit.
Tambah Rura lagi, pihak hospital turut mengesyaki Adi menghidap Sindrom Seckel dan kini mereka sedang menanti keputusan ujian genetik kedua yang dijangka keluar Mei ini.
“Jika ia positif, asid deoksiribonukleik (DNA) kami bertiga akan dibawa ke United Kingdom untuk ujian seterusnya,” katanya ketika ditemui di Institut Pediatrik Hospital Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Hayat Tidak Lama
-------------------------------
Ibu muda yang berasal dari Rawang itu kelihatan cukup positif dengan ketentuan yang melanda anak kesayangannya itu.
Ditemani suami, Syahril Lufti yang turut berada di hospital sepanjang temu bual dijalankan, riak muka Rura juga tidak menunjukkan kesugulan, barangkali kerana beliau sudah redha dengan apa yang terjadi.
Bercerita lebih lanjut, Rura berkata pihak hospital ada memaklumkan kepadanya mengenai jangka hayat Adi yang mungkin tidak lama.
“Saya diminta bersedia di atas semua kemungkinan yang bakal terjadi kerana doktor sendiri sudah kata Adi mungkin tidak hidup lama.
“Doktor menyatakan jika Adi jatuh sakit, ada tiga perkara yang boleh dibuat iaitu memberikan bantuan pernafasan, menekan dadanya untuk mengepam jantung atau hanya biarkan saja dia ‘pergi’.
“Dua perkara pertama itu mempunyai risiko sendiri seperti mungkin boleh menyebabkan tulang Adi patah. Jadi kami membuat keputusan, sekiranya Adi pergi, kami mahu dia pergi dalam keadaan yang tidak menyakitkan dirinya.
“Kalau ditanya, ya saya sudah bersedia untuk kehilangannya tetapi saya tidak tahu apakah saya benar-benar kuat untuk menempuhnya jika ia terjadi satu hari nanti,” jelasnya.
Sawan 15 Kali Sehari
-----------------------------------
Anak kecil itu juga kerap diserang sawan disebabkan penyakit yang dihidapi.
“Kadang-kala, sehari sehingga 15 kali Adi diserang sawan untuk tempoh 30 saat hingga satu minit. Menurut doktor, agak sukar untuk mereka mengubati sawan berkenaan kerana ia berkaitan dengan masalah otak Adi dan apa yang mampu dilakukan adalah mengawal dan mengurangkan bilangan sawan itu saja,” katanya.
Rura menyatakan ramai ahli keluarga dan sahabat handai yang memberikan kata-kata semangat dan sokongan kepadanya untuk menghadapi ujian ini.
“Saya juga sentiasa berdoa memohon Allah memberikan kesembuhan kepada anak saya. Saya harap jika dia sihat, dia dapat membesar dengan baik seperti kanak-kanak normal yang lain,” katanya.
Rura yang berkhidmat di agensi kerajaan turut mengambil cuti separuh gaji untuk menjaga anak kesayangannya itu.
“Saya hanya mampu bersabar dengan ujian ini. Saya percaya semuanya ada hikmah dan akan mendapat balasan yang baik, jika tidak di dunia, mungkin di akhirat,” katanya mengakhiri perbualan.
****************************************************************************
![]() |
Promise me sayang, tunggu umi & abi di syurga, in shaa Allah |
Sy doakan semoga Allah SWT melimpahi Puan dan Suami dgn kekuatan iman yg jitu dlm menghadapi segala kemungkinan. Sesungguhnya berat mata memandang lebih berat bahu yg memikul. Akan kami ingat Putera Adi Danial serta Puan dan Suami dlm doa kami. Ameen
ReplyDelete